Family Albom

Friday, May 8, 2009

Ibuku Tidak Pandai

Ibuku Tidak Pandai
(ma, aku rindu)

Ibuku tidak pandai
Menghantar mesej ringkas
Setiap yang dikirim
Bisu yang berbalas

Ibuku tidak pandai
Meneka mana Eropah
Cuma di benaknya
Mahu ke Mekah

Ibuku tidak pandai
Menghadap teknologi
Hari ini ia belajar
Esok diajar lagi

Ibuku tidak pandai
Memakai baju mahal
Ke mana jua pergi
Kurung tak ditinggal

Ibuku tidak pandai
Mengerah amarah
Tapi tajam jelingnya
Buat kami bersalah

Ibuku tidak pandai
Berbicara syahdu
Hanya tutur mata
Meluahkan rindu

11 Mei 2008 (8.00 am)
King’s College London
Lakaran Ilham Mohd Waqiyuddin Abdullah

No comments: