Family Albom

Wednesday, September 30, 2009

MENENTUKAN KESUBURAN WANITA

MENENTUKAN KESUBURAN WANITA

Wanita menjadi subur sebaik sahaja mencapai akil baligh, iaitu
apabila haid pertamanya keluar. Secara purata, kanak-kanak perempuan
di Malaysia mencapai akil baligh dalam lingkungan 12 tahun. Tempoh
kesuburan berlangsung sehingga usia wanita dalam lingkungan 48 tahun
iaitu apabila berlaku putus haid. Dalam jangka masa 36 tahun waktu
suburnya itu, wanita akan mengalami beberapa kali kehamilan dan
kelahiran sekiranya dia berumahtangga. Setiap wanita yang ingin hamil
mestilah subur iaitu dia berkeupayaan mengeluarkan telur atau
benihnya. Benih perempuan hanya keluar sekali dalam satu pusingan
haid dan pada waktu yang tertentu sahaja.

Oleh sebab itulah, apabila wanita datang menemui saya setelah sekian
lama mendirikan rumahtangga tetapi masih belum mempunyai anak,
perkara pertama yang saya lakukan ialah mengesan kesuburannya dengan
melakukan beberapa ujian dan pemeriksaan tertentu. Ujian dan
pemeriksaan ini adalah unutk menentukan pengeluaran benihnya sama ada
normal ataupun tidak. Terdapat beberapa cara bagi menentukan
seseorang wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan bilakah benih
itu keluar. Waktu pengeluaran benih ini digelar waktu subur atau
fertile period. Persetubuhan perlu dilakukan pada waktu ini untuk
menjayakan kehamilan, atau jauhkan waktu ini untuk mengelakkan
kehamilan. Pusingan Haid Wanita yang mempunyai pusingan haid teratur
setiap bulan biasanya subur. Pengeluaran benih ini berlaku pada hari
ke-13 atau 14 dikira dari hari pertama keluar darah haid.

Satu pusingan haid dikira dari hari pertama keluar haid hinggalah
sehari sebelum haid datang semula. Satu pusingan ini biasanya
meliputi jangka masa 28 hari hingga 30 hari. Adalah penting bagi
setiap wanita yang inginkan anak mencatat tarikh bagi keluaran haid
dalam satu buku kecil yang mengandungi carta suhu badan. Buku ini
boleh didapati di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara
Negara (LPPKN). Ada beberapa tanda yang berlaku pada waktu
pengeluaran benih seperti rasa sakit atau senak di bahagian bawah
perut dan pengeluaran lendir yang berlebihan dari kemaluan.
Kadangkala lendir ini berwarna coklat, jernih dan mudah dijalurkan
atau stretchable dan rupanya seperti putih telur mentah. Sebaik
sahaja lendir keluar, lendir bertukar bentuk menjadi lebih kesat dan
pekat.

Catatan Suhu Badan
Setiap wanita yang ingin meningkatkan kesuburan perlu mencatatkan
suhu badannya dalam satu carta khas yang boleh didapati di klinik
LPPKN. Suhu badan perlu disukat dengan mengggunakan jangka suhu khas
yang digelar ovulation thermometer. Alat clinical thermometer yang
biasa digunakan untuk menyukat suhu badan tidak sesuai untuk tujuan
ini. Suhu badan perlu disukat sebaik sahaja bangun tidur tetapi
sebelum meninggalkan tempat tidurnya untuk memberus gigi dan mandi.
Jangka suhu perlu disediakan pada malam sebelumnya, iaitu dengan
menggoncangkan supaya tanda raksa turun ke paras paling rendah.
Apabila hendak mengambil suhu badan, jangka suhu dimasukkan ke dalam
mulut selama dua atau tiga minit. Sukatan suhu badan kemudian
dicatatkan pada carta khas dan ini patut dibuat tiap-tiap hari
melainkan pada hari wanita itu dalam haid. Satu muka carta baru
digunakan bagi pusingan haid yang berikutnya. Carta suhu badan ini
memberi maklumat penting kepada doktor dan jururawat. Ia akan
menunjukkan sama ada wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan
bila benih itu keluar. Biasanya suhu badan akan turun sedikit pada
hari pengeluaran benih dan sejurus kemudian ia meningkat naik
sebanyak 0.2 darjah celcius dan kenaikan suhu badan ini akan
berlarutan sekurang-kurangnya 10 hari atau lebih. Jika bentuk ini
tidak kelihatan pada carta, mungkin ini menandakan wanita tersebut
tidak mengeluarkan benih dan seterusnya dia tidak boleh hamil.

Ujian Darah
Ujian darah untuk mengesan paras hormon boleh juga digunakan untuk
menentukan wanita itu keluar benih atau tidak. Sukatan paras hormon
progesterone dilakukan pada hari ke-21 hingga 25 dalam pusingan haid.
Wanita yang pusingan haid mereka tidak teratur seperti datang haid
sekali dalam tiga bulan ataupun sekali dalam enam bulan, biasanya
tidak subur kerana benihtidak keluar dengan teratur. Dalam hal
demikian beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengesan punca masalah
tersebut. Antara ujian yang penting ialah meyukat paras hormon dalam
aliran darahnya seperti hormon gonadotrofin (FSH, LH) dan prolaktin.

Ujian D & C
Ujian D & C selalu dikatakan oleh doktor pada wanita yang kurang
subur. Dalam tatacara pembedahan yang kecil ini, saluran pangkal
rahim wanita itu dikembangkan. Proses ini digelar dilatation. Ruang
rahim kemudian dikikis dengan alat tajam yang digelar curettage.
Tatacara ini memberi manfaat kepada sesetengah wanita yang pangkal
rahim mereka sempit dan ini mungkin memudahkan perjalanan benih
lelaki ke dalam sistem peranakan. Melalui proses mengikis ruang rahim
ini juga tisu yang tidak normal dapat dikeluarkan untuk membolehkan
kehamilan berlaku. D & C juga boleh dilakukan untuk mengetahui sama
ada seseorang wanita itu boleh mengeluarkan benih atau tidak. Ini
hanyalah satu bukti secara tidak langsung bagi menentukan pengeluaran
benih wanita. Sesetengah doktor melakukan insufflation iaitu
memancutkan air berwarna ke dalam saluran peranakan keteika melakukan
D & C itu. Tatacara ini bertujuan untuk menguji sama ada salur
fallopian terbuka atau tersumbat dengan melihat pengaliran air yang
dipancutkan itu. Ujian ini jarang dilakukan pada masa sekarang kerana
seringkali ia tidak memberi kepastian mengenai keadaan saluran
peranakan tersebut.

Pemeriksaan Fizikal
Bahagian tubuh badan wanita yang patut diperiksa termasuklan buah
dada, kilang tiroid pada leher dan sistem peranakan. Pemeriksaan
leher adalah bertujuan untuk mengesan ketumbuhan pada kilang tiroid
yang biasanya boleh mengeluarkan hormon tiroksina berlebihan dan
seterusnya mengganggu pengeluaran benih. Pemeriksaan buah dada pula
bertujuan untuk mengesan ketumbuhan dan pengeluaran air susu kerana
jika keadaan ini berlaku ada kemungkinan imbangan hormon dalam darah
wanita itu terganggu. Mungkin paras hormon prolaktin tinggi dan ini
mengganggu pengeluaran benih perempuan.

Pemeriksaan Sistem Peranakan
Pemeriksaan ini adalah sangat penting untuk menentukan sama ada
system peranakan seseorang wanita itu normal atau tidak. Sistem ini
melibatkan faraj, pangkal rahim, saluran peranakan dan kilang ovari.
Berbagai-bagai cara digunakan untuk memeriksa dan menilai system
peranakan ini. Biasanya setelah doktor memeriksa kemaluan dan
peranakan seseorang wanita itu, dia dapat menentukan secara kasar
sama ada sistem peranakannya normal ataupun tidak.

Jangkitan Faraj
Penyakit jangkitan kuman pada faraj atau vaginitis dan pada pangkal
rahim atau cervicitis yang biasanya ditandai dengan lelehan keputihan
boleh mengganggu benih lelaki. Pangkal rahim menjadi luka dan merah
yang dikenali sebagai cervical erosion atau ditandai oleh ketumbuhan
seperti polip. Ketumbuhan yang bukan jenis kanser iatu fibroid juga
boleh berlaku pada rahim. Ada juga wanita yang mempunyai sistem
peranakan yang tidak normal sejak dilahirkan iaitu congenital
abnormality. Semua gejala yang disebutkan itu boleh menyebabkan
masalah kesuburan.

Pemeriksaan Laparoskopi
Ini adalah satu pemeriksaan untuk melihat secara terus ke dalam perut
wanita melalui sejenis teropong yang digelar laparoskop. Teropong ini
dimasukkan melalui satu hirisan sepanjang setengah inci di bawah
pusat dan menerusi teropong ini doktor boleh melihat keadaan ovari,
salur fallopian dan sekeliling rahim. Jika terdapat sesuatu penyakit
yang menimbulkan masalah bagi kesuburan wanita, rawatan yang
sewajarnya perlu diberi. Pemeriksaan laparoskopi adalah sangat
penting kerana memang terdapat penyakit seperti ketumbuhan dan
jangkitan kuman yang tidak memberi sebarang tanda, boleh dikesan
melalui teropong tersebut. Antara jenis penyakit yang selalu tumbuh
ialah sejenis ketumbuhan yang digelar endometriosis. Penyakit ini
kerapkali mengganggu pengeluaran benih dan ia juga menyekat saluran
peranakan. Mengikut kajian kita, kejadian penyakit ini kian
meningkat. Ini mungkin disebabkan oleh lebih ramai wanita zaman
sekarang yang melambatkan perkahwinana ataupun menangguhkan kehamilan
dan kelahiran anak. Wanita yang pernah mengalami keguguran sama ada
secara sengaja atau tidak, kerapkali juga dijangkiti oleh kuman
khususnya pada bahagian saluran peranakan. Saluran peranakan boleh
menjadi rosak dan tersumbat. Ketumbuhan juga boleh berlaku pada
kilang ovari dan ini boleh mengganggu pengeluaran benih. Sesetengah
penyakit yang dikesan ketika pemeriksaan `laparoskopi’ dirawat pada
masa itu juga tetapi ini adalah terhad. Kadangkala, rawatan
selanjutnya perlu dilakukan dengan satu pembedahan besar untuk
mengatasi masalah saluaran tersumbat ataupun untuk mengeluarkan
ketumbuhan pada rahim atau ovari. Untuk melakukan pemeriksaan
laparoskopi, wanita berkenaan perlulah dimasukkan ke hospital,
biasanya selama dua malam. Dia akan dibius bagi menjalani pemeriksaan
ini. Di Pusat Pakar Kesuburan LPPKN, pemeriksaan laparoskopi kerap
dilakukan dengan tidak perlu wanita tersebut bermalam di wad. Mereka
hanya perlu datang ke pusat tersebut pada sebelah pagi dan boleh
pulang pada hari yang sama.

Ujian Hysterosalpingogram
Jika terdapat saluran peranakan tersumbat, ujian lain diperlukan.
Ujian yang dimaksudkan ialah X-ray yang digelar Hysterosalpingogram.
Ini adalah satu ujian khusus untuk melihat ruang rahim dan juga
saluran peranakan menerusi gambar X-ray. Sebelum gambar X-ray
diambil, satu jenis cecair khas atau contrast medium disuntikkan ke
dalam pangkal rahim dan selepas itu beberapa gambar X-ray diambil.
Ujian ini biasanya dilakukan sebaik sahaja berhenti darah haid tetapi
sebelum waktu subur. X-ray yang dilakukan selepas waktu subur
dikhuatiri pendedahan bahangan X-ray terhadap bayi jika kehamilan
telah berlaku.

sumber sembang melayu

No comments: